Suspek Korea Utara akan dibebas, bakal dihantar pulang



Lelaki Korea Utara yang ditahan berhubung kematian Kim Jong-nam akan dibebaskan dari tahanan polis esok dan dihantar pulang, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Polis tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Ri Jong Chol, kata Mohamed Apandi kepada CNN.

Jong-nam yang merupakan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di KLIA2 pada 13 Februari yang lalu.

Polis sedang mencari empat rakyat Korea Utara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut bersama-sama tiga individu lain yang belum ditentukan warganegaranya.

Laporan bedah siasat mendapati Jong-nam meninggal dunia akibat keracunan organofosfat, ekoran bahan yang mempunyai kualiti yang konsisten dengan ejen saraf VX, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Pihak berkuasa tidak akan melepaskan mayat Jong-nam kepada Korea Utara sehingga menerima sampel DNA bagi tujuan pengesahan identiti Jong-nam.

Dua wanita, seorang warga Indonesia dan seorang lagi warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Sepang semalam kerana dakwaan membunuh Jong-nam.
Previous
Next Post »