Sinar Harian sedia anjur debat Mahathir-Nazri

sinar-mahathir-nazri
KUALA LUMPUR: Sinar Harian menawarkan diri untuk menganjurkan debat antara Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini pengerusi parti pembangkang baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Akhbar harian berbahasa Melayu itu semalam melaporkan ketua pengarangnya, Norden Mohamed sebagai berkata organisasi itu sedia menjadi penganjur tetapi lebih menarik jika ia diadakan dalam bentuk wacana.

Akhbar itu berkata ia mungkin diadakan ketika lawatan Dr Mahathir ke kawasan Parlimen Nazir iaitu di Padang Rengas pada 25 Mac.

“Sinar Harian (SH) sedia menjadi penganjur dalam pertemuan ini dan kita rasa menarik jika i diadakan dalam bentuk wacana dalam isu yang dibincangkan.

“SH memang bersedia untuk memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk membicarakan pelbagai isu,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Norden berkata melalui wacana, rakyat akan mendapat maklumat dan pandangan yang mana akhirnya mereka boleh membuat penilaian untuk bersetuju atau tidak dengan apa yang dibicarakan.

Dr Mahathir sebelum ini mencabar Nazri berdebat secara terbuka dan menteri pelancongan dan kebudayaan itu bersetuju menyahut cabaran berkenaan.

Dr Mahathir mencadangkan debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, mahupun skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku pada era pemerintahannya.
Pegawai Dr Mahathir sebelum ini berkata kepada FMT pasukan PPBM sudah membuat persediaan yang diperlukan untuk mengadakan debat itu di Padang Rengas ketika lawatan Dr Mahathir ke sana.

“Maklumat aturan itu akan dihantar ke pejabat Nazri untuk pengesahan,” katanya.

Merujuk kepada laporan FMT memetik kenyataan pegawai itu, Norden berkata tarikh debat masih belum disahkan tetapi Dr Mahathir dijangka berada di Padang Rengas untuk menghadiri satu majlis pada 25 Mac.

Norden berkata SH setakat ini sudah menganjurkan 44 Wacana Sinar yang membicarakan pelbagai isu yang mencakupi topik RUU 355, 1MDB dan GST.
Previous
Next Post »