'Jangan dera penerima BR1M kerana PRU makin hampir'


Tindakan kerajaan mengagihkan BR1M secara manual (baucar) dan bukan melalui sistem perbankan menerima pelbagai bidasan.

Terbaru, Pengarah Strategi Pemuda PKR, Akmal Nasir mempersoalkan jika perubahan secara tiba-tiba adalah disebabkan oleh pilihan raya umum yang semakin hampir.

“Jika tindakan ini benar ia merupakan satu tragedi di mana kerakusan politik Umno BN yang sanggup memanipulasi rakyat miskin bagi meraih keuntungan politik mereka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal mengulas laporan bahawa ada warga emas yang terpaksa melupakan bantuan itu kerana tidak sanggup untuk mengharungi perjalanan jauh dan terpaksa berbaris panjang menunggu giliran untuk mendapatkan baucar BR1M.

Antara contoh, adalah Chan Gan, yang berusia 73 tahun. Wanita dari Sitiawian itu diminta ke Ipoh yang terletak kira-kira 80 kilometer dari rumahnya untuk mengumpul baucar tersebut.

Akmal mengingatkan kerajaan bahawa tujuan utama BR1M adalah untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan bukan sebagai alat pilihan raya.

“Inisiatif ini adalah untuk meringankan beban sara hidup mereka namun jika berlaku kesulitan untuk mendapatkan bantuan berkenaan, ia kembali menyusahkan rakyat.

“Harus diingat seluruh rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kos sara hidup yang meningkat, harga minyak petrol dan diesel juga mengalami peningkatan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Akmal mendesak kerajaan kembali kepada kaedah sebelum ini dengan mendebitkan BR1M ini ke dalam akaun penerima.

Katanya, kaedah itu dilihat lebih menyenangkan di mana penerima tidak perlu beratur panjang dan berdiri lama semata-mata untuk mendapatkan baucar.
Previous
Next Post »