AMANAH cadang minta bantuan Norway sebagai pengantara Malaysia-Korea Utara


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub mencadangkan Malaysia meminta bantuan Norway bagi menjadi orang tengah dalam krisis dengan Korea Utara.

Katanya dalam satu kenyataan, Norway mempunyai prestij dan pengalaman dan diperakui memiliki segala kemampuan diplomatik kerana ibu negaranya Oslo adalah destinasi keamanan dan perdamaian yang menjanjikan kemunasabahan kejayaan.

“Pemilihan Norway sebagai negara pengantara adalah jalan paling selamat kerana tiada kesan politik dan pengaruh serantau yang memungkinkan Kuala Lumpur terjebak dalam persaingan kuasa besar dunia.

“Sejujurnya, agak sukar Kuala Lumpur bertindak sendirian pada ketika ini. Kita harus melihat dan memilih secara teliti apakah peluang-peluang yang terbaik di hadapan kita bagi memelihara kepentingan negara, khususnya keselamatan rakyat kita yang masih terperangkap di Korea Utara,” tegas beliau.

Salahuddin turut menyifatkan tindakan Korea Utara menahan 11 rakyat Malaysia keluar dari negara itu sebagai elemen provaki yang hanya boleh diselesaikan dengan tindakan diplomatik berprofil tinggi.

“Mungkin negara sudah kehilangan menteri luar merangkap diplomat paling dihormati pada zamannya seperti Tan Sri Ghazali Syafie dan Adam Malik dari Indonesia yang punya rekod cemerlang dalam dunia diplomatik,” katanya.
Previous
Next Post »