TUN M YANG MENGKAGUMKAN... DEMI SELAMATKAN MALAYSIA DARI NAJIB..

TUN M YANG MENGKAGUMKAN...

Shahbudin Husin,

Dalam menjangkau usia 92 tahun, Tun Mahathir Mohamad bukan saja masih sihat, tetapi juga terus bersemangat dalam menikmati kehidupan.

Di usia 92 tahun juga, beliau bukan saja masih boleh berfikir dengan baik, ketawa, berjalan ke sana sini, bahkan tetap gagah memandu kereta dan menunggang kuda.

Dengan  nikmat hidup sedemikian, jika kepentingan diri dan keluarga yang difikirkannya, tentulah lebih baik beliau diam-diam saja atau mengiakan saja segala apa yang sedang berlaku dalam negara. 

TUN M YANG MENGKAGUMKAN

Dengan nama besarnya pula, di sebalik comotnya Najib Razak menguruskan negara, kiranya Tun Mahathir hanya bersikap menyokong dan tidak membantah apa-apa, nescaya mewahlah  "dedak"  yang diterimanya.

Tetapi, dalam usia tua dan sudah bersara, Tun Mahathir nampaknya memilih jalan sukar untuk dilaluinya. Segala-galanya adalah demi negara dan kita semua.

Semua orang, selagi mereka dapat membezakan antara hitam dengan putih, pasti menyedari kerosakan besar yang diakibatkan oleh Najib kepada rakyat dan negara. Sejak beliau menjadi Perdana Menteri, hampir tidak ada yang menjadi bertambah baik. Kehidupan rakyat, hubungan kaum, agama, ekonomi, kos hidup, peluang kerja, harta negara, dividen saham dan segala-galanya bertambah buruk.

TUN M YANG MENGKAGUMKAN

Cuma, tidak semua orang berani bersuara. Sayang kepada jawatan, kedudukan, kemewahan dan harapan kepada "dedak"  percuma menyebabkan ramai orang, termasuk pejuang-pejuang agama, jadi kelabu mata  dan membutakan pandangan terhadap segala kemungkaran yang berlaku di depan mata.

Mujur masih ada Tun Mahathir. Jika tidak, mungkin lebih dahsyat daripada 1MDB, TRX, Bandar Malaysia atau dua tiga Jho Low yang muncul mencatur segala-galanya dalam negara.

Sejak Tun Mahathir menyatakan perlunya Najib disingkirkan untuk menyelamatkan negara, macam-macam usaha luar biasa dilakukannya. Beliau tidak saja sanggup berbaik dengan Lim Kit Siang dan mengunjungi Anwar Ibrahim yang pernah dipecatnya, bahkan berusaha gigih menyatukan hati-hati yang pernah dilukainya ketika berkuasa dahulu.

Salah satu kumpulan yang terluka dengan Tun Mahathir ialah gerakan reformasi yang muncul setelah Anwar dipecat pada 1998 dahulu. Selama bertahun-tahun kumpulan tersebut memusuhi beliau dan semangat mereka tidak pernah pudar, meskipun setelah Tun Mahathir dan Anwar sudah berbaik kembali.

Pada satu ketika, kumpulan reformis ini pernah menyuarakan agar Tun Mahathir meminta maaf kepada Anwar dan keluarganya atas apa yang pernah dilakukannya dahulu. Kumpulan ini seperti tidak sedia menerima Tun Mahathir.

TUN M YANG MENGKAGUMKAN

Hari ini, Tun Mahathir secara mengejut hadir di Konvensyen Reformis di Shah Alam iaitu kumpulan paling tegar menentangnya. Meskipun beliau sedar, kumpulan tersebut tidak menyukainya dan terdedah untuk diejek atau dihambur kata-kata nista, keberanian dan jiwa besar telah membawa langkah kakinya ke situ.

Tidak ramai yang ada keberanian dan jiwa besar seperti itu. Kiranya kesanggupan bersahabat serta memulihkan hubungan dengan Lim Kit Siang dan Anwar sudah dikira sudah cukup membuatkan ramai yang tergamam, keberanian dan jiwa besar Tun Mahathir untuk  berdepan dengan pengkritik tegarnya sejak bertahun-tahun lalu jauh lebih mengkagumkan.

Najib misalnya, mustahil ada keberanian sebegitu. Najib selalunya lebih selesa hadir dalam majlis yang dihadiri penyokong, pengampu dan tiada jemputan yang tidak sebulu dengannya. Bercakap pula biasanya hanya sehala saja. Berdebat, tentulah lebih kecut dibuatnya.

Sebab itu, Najib hilang dalam program NothingToHide dan enggan hadir merasmikan persidangan anti rasuah antarabangsa, tahun lalu. Beliau tiada keberanian dan tidak berjiwa besar.

Di Konvensyen Reformis, walaupun diejek dan dilempar dengan kata-kata tidak enak, Tun Mahathir tidak lari, jauh sekali daripada bersembunyi. 

Sambil mengakui dirinya tidak selalu disukai, Tun Mahathir mengajak mereka yang tidak menyukainya itu untuk sama-sama melupakan kisah lama dan berganding bahu bagi menyingkirkan Najib yang dianggapnya yang jauh lebih bahaya dan memudaratkan negara.

Apa yang penting ketika ini, kata beliau ialah menyingkirkan Najib.

"Lepas tu, kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambik laaa..." katanya lagi.

Dengan sikap dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir itu, apatah lagi beliau sudah dua kali mengunjungi Anwar di penjara, adalah penting mulai sekarang agar semua pihak sama-sama melupakan peristiwa 1998 dahulu.

TUN M YANG MENGKAGUMKAN

Tun Mahathir tidak perlu lagi dimomok-momokkan dengan peristiwa lama itu. Jika Tun Mahathir ada keberanian dan jiwa besar untuk sedia diejek dan dicemuh demi menyelamatkan negara dan memberi kebaikan kepada rakyat, kumpulan reformis juga harus menyambutnya dengan tangan yang terbuka.

Lupakanlah semuanya dan menyingkirkan Najib melalui pilihanraya harus menjadi agenda utama. Selagi ada Najib, semua kita dan negara akan terus sengsara dan Anwar juga tidak akan ke mana-mana. 

Sebab itulah, apa yang diperjuangkan oleh Tun Mahathir, tiada pilihan buat kita, selain memberi sokongan dengan sepenuhnya. (SH 25/02/2017).

Previous
Next Post »