Pokok Sena - Remaja ketagih ketum kerana mudah dapat bekalan

daun ketum

POKOK SENA - Ramai pelajar mudah terjebak dalam gejala pengambilan ketum dan dadah berikutan bahan terlarang itu mudah didapati selain dipengaruhi rakan sebaya, kata polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ini berikutan aktiviti penanaman pokok ketum secara berleluasa oleh penduduk di kawasan pedalaman menyebabkan ramai remaja terdedah dan terjebak dalam pengambilan air ketum sebelum mengambil dadah.

Tabiat itu bermula dengan minum air ketum, kemudian mencuba dadah hingga sukar membuang tabiat itu dan mengundang pelbagai kegiatan jenayah dan masalah sosial, katanya selepas merasmikan Program Remaja Berwawasan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung di sini hari ini.

"Melalui perjumpaan dengan pemimpin setempat terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pokok Sena baru-baru ini, isu daun ketum, dadah dan isu jenayah banyak dibangkitkan oleh golongan pemimpin kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata polis akan terus bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah bagi menjalankan program-program kesedaran mengenai bahaya daun ketum dan dadah.    

Katanya paling bahaya adalah dadah moden kerana dadah ini sangat mahal dan boleh mengundang kegiatan jenayah seperti mencuri atau meragut semata-mata untuk membeli dadah. - Bernama

Previous
Next Post »