Pengerusi Felda maklum bakal jual aset di London

Shahrir Abdul Samad

JOHOR BAHRU - Felda bakal mendapatkan keuntungan hasil penjualan aset di United Kingdom (UK) yang telah mencapai tempoh matang.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 20 Februari lalu.

Menurutnya, penjualan aset akan dibuat secara tender terbuka selepas penilaian dibuat sepenuhnya oleh syarikat penilaian di UK, manakala Felda akan memilih tawaran harga yang paling tinggi.

"Hasil mesyuarat berkenaan, lembaga pengarah telah bersetuju agar aset milik Felda di London diluluskan supaya ia dilupuskan.

"Malah, hasil penjualan secara tender terbuka itu bakal memberi keuntungan melalui pertukaran mata wang.

"Kita beli pada kadar satu Pound Sterling iaitu RM5.10 dan kini kadar pertukaran semasa mencecah RM5.60, sudah tentu ia memberi keuntungan disebabkan nilai mata wang yang telah bertambah.

"Kita juga yakin Felda akan dapat menghasilkan sumbangan lebih baik, manakala dari segi jualan kepada pembeli yang berminat bakal dilakukan secara tender terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Flat Sri Stulang di sini, semalam.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memberitahu, Felda tidak merancang membeli aset atau membuat sebarang pelaburan baharu pada masa sekarang.

Sebaliknya, beliau berkata, Felda sedang fokus menguruskan aset dan pelaburan sedia ada bagi memastikan nilai pulangan.


Previous
Next Post »