Oh Malaysiaku - Judi haram, judi halal



Berniaga dan berjudi, kedua-duanya memerlukan modal, berisiko tetapi menjanjikan keuntungan dengan kadar kebarangkalian yang berbeza.

Berniaga berasaskan kerja dan daya usaha. Sementara itu berjudi menyerahkan diri kepada nasib semata-mata.

Pada sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, saya terkejut dengan berita penangkapan pemimpin gerakan Baju Merah Jamal Yunos yang ditahan bersama sembilan orang pengikutnya atas tuduhan samun berkumpulan.

Sebelum itu, pemimpin gerakan baju merah itu telah berikrar untuk menghapuskan kegiatan perjudian haram di Selangor. Pemimpin tersebut bersama gerombolannya telah menyerbu premis perniagaan di Selangor yang didakwa sebagai pusat perjudian haram.

Seorang pemimpin gerakan baju merah seperti Jamal – yang pernah mengerahkan puluhan ribu orang berdemo – itu tidak akan semudahnya dikenakan tindakan undang-undang.

Apatah lagi beliau hanya menjalankan tugas membela orang-orang atasan dan partinya Umno, untuk mengalih perhatian rakyat daripada bermacam-macam isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kuasa, khususnya skandal syarikat pelaburan negara 1MDB.

Hal ini terbukti apabila Umno Selangor menolak peletakan jawatan untuk kerusi ketua bahagian Umno pemimpin baju merah tersebut.

Kegiatan perjudian boleh dikatakan telah sebati menjadi budaya masyarakat Malaysia. Masalahnya bukan berjudi, tetapi berjudi secara melampau. Justeru itu, kita perlu mengambil iktibar seruan Perdana Menteri Najib Razak bahawa ”Malaysia tidak mengamalkan ekstremisme.”

Masalah pusat judi haram akan selesai jika ia dihalalkan dengan pengesahan undang-undang, seperti syarikat-syarikat perjudian sah Malaysia lainnya.

Kegiatan perjudian di zaman Internet ini lebih sukar lagi untuk dibanteras, kerana di mana-mana pun orang boleh berjudi tanpa premis atau pusat perjudian secara fizikal.

Kegiatan perjudian halal yang sah daripada segi undang-undang menyumbang kepada pendapatan negara melalui kutipan cukai yang banyak. Dengan hasil ini, kerajaan memperoleh pendapatan untuk membayar belanja pentadbiran dan membiayai program serta rancangan-rancangannya.

Saya tidak punya statistik terkini yang saya percaya angkanya lebih tinggi tetapi jawapan menteri kewangan di parlimen menunjukkan hasil cukai judi di Malaysia dari tahun 2008 ke 2011 berjumlah RM 9.3 bilion, purata kira-kira lebih RM 2 bilion setahun.

Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat perjudian sah Malaysia menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan baik sekali, khususnya melalui derma serta tajaan dalam bidang kesukanan dan kebajikan.

Misalnya menjelang sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, saya membaca laporan akhbar tempatan bahawa syarikat perjudian sah nombor ekor Sports Toto membawa kebahagiaan kepada lebih 18,000 orang.

Dalam kempen sumbangan barangan dan derma angpau kepada golongan warga emas dan mereka yang tidak bernasib baik di seluruh negara itu, Sports Toto memperuntukkan sejumlah RM 1.2 juta.

Maksudnya Toto tidak tipu orang tetapi Toto tolong orang. Saya tidak nampak kenapa para penjudi boleh merasa tertipu jika kalah dalam pertaruhan. Bukankah adat perjudian, seperti apa juga pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah.

Untuk menyedapkan hati, para penjudi mestilah memasang niat, sambil berjudi, sambil berbakti kepada masyarakat dan negara. Sementara itu para saudagar judi memang berhak mendapat keuntungan kerana menyediakan prasarana perjudian memerlukan modal, pekerja, belanja lesen, premis perniagaan dan pemasaran serta pengiklanan produk.

Pembukaan kasino dapat melimpahkan kesan sosioekonomi (yang bukan sahaja baik, ada buruknya juga) terhadap masyarakat sekitar.

Dengan wujudnya kasino di tanah tinggi Genting, Pahang, maka berlakulah kesan sosio ekonomi yang berangkaian dengan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, pembinaan hotel, restoran, pusat beli-belah dan taman tema yang menarik kehadiran para pelancong antarabangsa.

Sayangnya Malaysia hanya ada sebuah syarikat operator kasino, Genting Group.

Syarikat perjudian sah, Genting Group pula dapat menjadi bukti betapa syarikat-syarikat multi nasional Malaysia boleh bersaing di persada antarabangsa. Malah Genting bolehlah dikatakan kalau bukan yang paling besar di dunia, ia menjadi antara operator kasino yang terbesar di dunia. Selaku rakyat Malaysia, kita perlu berbangga.

Di United Kingdom sahaja, Genting Group menjadi salah satu operator kasino perjudian terbesar di seluruh negara itu. Sayap perniagaan kasino judi Genting Group juga turut melebar sehingga ke Las Vegas, Amerika Syarikat.

Isu pusat judi haram di Selangor ini sengaja ditimbulkan kerana negeri itu ditadbir oleh parti-parti politik yang mencabar kekuasaan Umno dan BN.

Seolah-olahnya kewujudan dan kelangsungan hidup penduduk Selangor sedang terancam akibat dakwaan kewujudan pusat judi haram tersebut.

Umno selaku parti pemerintah negara ini ialah pihak yang sedang rakus mempertaruhkan nasib rakyat dan masa depan negara dalam berbagai bentuk perjudian (yang mengatasnamakan pelaburan dan perniagaan) yang terang-terangan merugikan rakyat.

Contohnya, syarikat 1MDB adalah perjudian kerajaan yang mempertaruhkan aset-aset strategik negara seperti tanah TUDM, Bandar Malaysia, pengangkutan dan pusat jana tenaga. Ia dikatakan perjudian kerana ia dikendalikan oleh seorang yang didakwa penipu bernama Jho Low dan 1MDB terpaksa menanggung hutang berbilion-bilion banyaknya.

Jho Low bukan setakat dilapor berjudi di kasino di Las Vegas dengan menggunakan jutaan duit 1MDB, Jho Low juga telah memperjudikan masa depan rakyat Malaysia dengan beban hutang puluhan bilion ringgit dan peleburan aset-aset 1MDB yang membuka penguasaan asing terhadap aset-aset strategik negara.

Contoh lain perjudian kerajaan yang merugikan adalah penyenaraian saham Felda Global Venture pada tahun 2012 yang lalu. Penyenaraian saham FGV merupakan yang terbesar di rantau Asia dan kedua di dunia selepas saham Facebook.

Semasa itu, perdana menteri berjanji, ” penyenaraian ini dibuat tanpa menyentuh tanah yang dimiliki oleh peneroka, tanpa menjual tanah yang dimiliki oleh Felda Holdings, cuma kita pajakkan sahaja.”

Baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Tanah Persekutuan (Felda ), Shahrir Abdul Samad mempersoalkan ke mana perginya RM 4.5 bilion daripada sejumlah RM 6 bilion yang diperolehi hasil penyenaraian saham tersebut.

Manakala itu, blog Sarawak Report mendedahkan FGV adalah skandal baru berskala sepuluh kali ganda 1MDB.

Jika dipajak, tidak boleh bayar hutang, adakah akan tergadai tanah-tanah Felda itu?

RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
Previous
Next Post »