Mengundi pembangkang bererti menolak pembangunan, Jadi Undilah BN

Barisan Nasional

LUNDU - Penduduk Tanjung Datu dan Lundu akan rugi besar sekiranya mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRK Tanjong Datu nanti, kata seorang pemimpin masyarakat Melayu, pemanca Bujang Jally Man.

Bujang, yang menjadi pemanca sejak 18 tahun lepas berkata, sekiranya mereka tidak memberi undi kepada calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu pada pilihan raya kecil itu, perbuatan tersebut samalah seperti menolak pembangunan daripada kerajaan dan mengetepikan kehidupan selesa untuk diri mereka sendiri.

Jamilah, balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, dicabar calon Parti Bansa Dayak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (Star) Johnny Aput pada PRK itu.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan kematian Adenan pada 11 Januari akibat komplikasi jantung.

Bujang berkata tiada siapa dapat menafikan bahawa kerajaan BN telah membawa pembangunan pesat ke kawasan itu dan seluruh daerah Lundu serta sub-daerah Sematan.

"Sejak Tok Nan (Adenan) menjadi wakil rakyat Tanjong Datu, kita dapat menyaksikan begitu banyak pembangunan dan ini akan berterusan sekiranya wakil rakyat baharu juga adalah daripada BN," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, Jamilah perlu diberi majoriti besar untuk menunjukkan bahawa rakyat Sarawak daripada semua kaum berdiri teguh di belakang kerajaan BN.    

"Walaupun Tok Nan tidak lagi menjadi wakil kami di sini, saya amat yakin bahawa sekiranya Datuk Amar Jamilah dipilih, beliau akan melakukan perkara sama iaitu melaksanakan apa yang telah dirancang Allahyarham suaminya," kata beliau. - Bernama

Previous
Next Post »