Kanak-kanak tahfiz turut hadir himpunan 355

Kanak-kanak termasuk pelajar sekolah agama adalah antara mereka yang hadir dalam perhimpunan anjuran PAS bagi menyokong pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 (Bidang Kuasa Jenayah).

Dalam catatan di Facebook semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata penyertaan itu disebabkan mereka cintakan agama.

"Bukan pelajar-pelajar tahfiz atau pondok ataupun anak-anak bawah umur sahaja akan hadir, malahan anak-anak baru lahir dan yang masih dalam perut pun akan dibawa oleh pendukung-pendukung perjuangan Islam supaya mendidik zuriat mereka untuk cinta pada agamanya supaya ia tidak menentang agamanya bila dewasa.

"Menjadi budak-budak yang cintakan agamanya jauh lebih mulia dari jadi dewasa tapi bencikan agamanya," kata Rosli.

Rosli berkata demikian sebagai menjawab posting pengguna Facebook bernama 'Awang Al kenit' semalam yang menulis bahawa pelajar tahfiz dan remaja bawah umur akan menyertai perhimpunan tersebut.

"Esok 18/2/2017, Padang Merbok akan dipenuhi oleh pelajar tahfiz bawah umur dan manusia yang masih belum matang," katanya.

Kira-kira 30 kanak-kanak ditemui di Masjid Jamek awal hari ini dan mereka mengesahkan adalah pelajar Tahfiz berusia 9 hingga 17 tahun.

Pelajar berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka datang dari Kuantan.

Pada jam 3 petang ini dianggar 9,000 peserta perhimpunan itu berkumpul di Padang Merbok, Kuala Lumpur dan kebanyakan mereka merupakan orang dewasa.

Mereka memberikan sokongan penuh terhadap pindaan untuk meningkatkan had hukuman Mahkamah Syariah yang kini maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang membentangkan rang undang-undang itu mahu menaikkan had baru kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan 100 sebatan.

Previous
Next Post »