Undi Cina dan Melayu pasti, India jadi penentu


PETALING JAYA: Trend pengundian kaum India akan menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memandangkan sokongan pengundi Cina kepada DAP sudah mencapai 90%, kata pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Prof James Chin.

"Kebanyakan bukan Islam menyokong DAP, mereka sudah dapat 90% sokongan pengundi Cina, tiada ruang untuk berkembang lagi.

"(Tumpuan) sekarang ialah pengundi India, mereka kini 50:50, beransur-ansur kembali kepada Barisan Nasional (BN). Tetapi, jika Umno membenarkan rang undang-undang persendirian PAS, mungkin India akan mengundi Pakatan Harapan dan DAP," katanya kepada Sin Chew Daily.

Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 ke sidang yang dijadualkan pada Mac 2017 untuk menerangkan pindaan RUU itu secara terperinci.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman "penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan" berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Beliau berkata, walaupun tidak bergabung, PAS dan Umno sudah mencapai persefahaman dengan bekerjasama secara tidak rasmi bagi menentang Pakatan Harapan.

"(Tun Dr) Mahathir Mohamad benci DAP, (Datuk Seri) Najib Razak benci Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mereka ada manfaat bersama, kerjasama tidak rasmi akan membolehkan mereka menentang PPBM di kawasan perkampungan Melayu."

Chin berkata, MCA, Gerakan dan MIC tidak akan dapat bertahan jika mereka meninggalkan BN, sebaliknya parti komponen BN dari Malaysia Timur mungkin berani berbuat demikian dan faktor utama ialah sama ada mereka boleh mengundi menentang RUU 355.

Beliau berkata, keadaan paling serius bukannya kerjasama Umno-PAS, sebaliknya kebangkitan politik Islam, penerimaan undang-undang Islam adalah permainan politik berbahaya.

"Ini adalah keadaan paling berbahaya sejak merdeka, kemungkinan besar Malaysia berubah menjadi sebuah negara baharu."

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia, Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, serangan demi serangan ke atas DAP dan orang Cina akan mendatangkan kesan jangka panjang terhadap hubungan perkauman.

Previous
Next Post »

Blog Archive