Sindir Siti: Jamal hina ciptaan Allah Taala, kata PKR


Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh hari ini tampil mempertahankan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin ekoran serangan oleh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Sambil menyifatkan kenyataan Jamal sebagai bersifat peribadi, berunsur jelik, seksis serta menghina kaum wanita, Fuziah berkata, ramai wanita berasa terhina dengan sindiran Jamal itu yang mengatakan Siti Nurhaliza tidak subur.

"Kata-kata itu menghina ciptaan Allah Taala kerana anugerah cahaya mata merupakan rezeki dari Allah Taala dan bukan semata-mata kehendak seorang wanita tersebut.

"Ayat yang digunakan oleh Jamal merupakan keterlaluan buat seorang wanita dan punyai unsur jelik mirip kepada lucah," ujar Fuziah dalam kenyataan.

Semalam, Jamal mengeluarkan kenyataan selepas kiriman laman sosial Siti Nurhaliza yang mengkritik Jamal kerana melakukan 'protes tuala' di Shah Alam.

“Pesanan saya kepada Siti. Jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu, atau cari air lain,” kata Jamal.

Terdahulu, Siti Nurhaliza telah memuat naik gambar di laman Instagram berkenaan tindakan Jamal pergi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan air.

“Jangan jadi macam Jamal ye.. #kawasansayapuntakdeair #dapatnotis #sediatongair #fahambahasa #Repost @yasinsulaiman

“Jamal dah 4 hari tak mandi. Minta jasa baik MB tumpang mandi kat opis SUK #lol,” tulis Siti.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya ingin mengingatkan Jamal bahawa isterinya juga adalah seorang wanita.

"Ibu yang melahirkan anda juga adalah wanita. Tentu sekali mereka segan mendengar kata-kata jelik demikian di keluarkan terhadap seorang wanita lain," tambahnya.

Oleh itu, Fuziah menggesa Jamal memohon maaf bukan sahaja kepada Siti Nurhaliza tetapi kepada semua wanita yang turut rasa terhina dengan ayat yang dilontarkan terhadap penyanyi itu.
Previous
Next Post »

Blog Archive