Lebuh raya Malaysia tak mesra penunggang motosikal, kata Fomca

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata kebanyakan lebuh raya di negara ini tidak mesra pengguna motosikal sekali gus meletakkan golongan itu dalam keadaan berisiko.

Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata masih banyak kemudahan masih gagal disediakan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam melaksanakan pembinaan lebuh raya.

Beliau berkata antaranya ialah LLM gagal memastikan pengguna lebuh raya dalam keadaan selamat dengan membina hentian berbumbung dan laluan khas untuk penunggang motosikal.

"Sepatutnya LLM mengambil kira kepentingan penunggang dengan menyediakan hentian berbumbung dan laluan khas motosikal di lebuh raya sebelum meluluskan projek lebuh raya kepada syarikat konsesi.

"Bila hujan penunggang terpaksa berteduh di bawah jambatan dan terowong, malah ada yang meneruskan perjalanan kerana tidak ada pilihan.

"Penunggang motosikal juga terpaksa bersaing dengan pemandu lori, bas dan kereta menyebabkan nyawa mereka dalam bahaya," katanya kepada FMT.

Yusof berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengakui keadaan itu dan berdasarkan kajian kebanyakan lebuh raya di negara ini tidak mesra penunggang dan kemalangan berlaku melibatkan motosikal.

Malah, statistik kemalangan jalan raya Kementerian Pengangkutan pada 2015 meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 pada 2014.

Ia juga menunjukkan jumlah kematian mencatatkan peningkatan bagi 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun sebelumnya dan 60% daripadanya ialah penunggang motosikal.

Laporan di laman web Jabatan Malaysia menunjukkan hasil kajian dunia yang meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

Berdasarkan nisbah 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia 6.3 kali lebih tinggi berbanding United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap nyawa penduduk UK pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Fomca mencadangkan LLM menyediakan hentian berbumbung kepada penunggang bagi setiap 5km.

"Kerajaan perlu menyediakan laluan khas untuk motosikal tanpa mengenakan caj," katanya.

Sementara itu, tinjauan FMT mendapati penunggang motosikal menyambut baik cadangan pembinaan laluan dan hentian berbumbung bagi motosikal di seluruh lebuh raya.

"Ia cadangan yang baik untuk membina laluan khas dan tempat berhenti berbumbung kepada kami supaya kami tidak perlu lagi takut setiap kali menggunakan lebuh raya, terutama pada musim hujan," kata Mohd Khairul Ibrahim.

Syed Nasir Hamid turut menyokong kenyataan Khairul dan berkata seorang ahli keluarganya maut digilis lori ketika menggunakan lebuh raya untuk ke tempat kerja.

Previous
Next Post »

Blog Archive