'Kami bukan maksum'


 PAS Idris Ahmad mengakui bahawa parti itu dan ahlinya tidak maksum dan tetap boleh dikritik sekiranya mereka melakukan kesilapan.

Beliau juga bersikap terbuka jika ada mana-mana pihak yang membenci parti berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, ia bukan bermakna parti serta anggotanya boleh difitnah dengan maklumat salah.

"Kalau kita ragu atau tidak pasti (sesuatu) maklumat, tidak perlu viral kepada orang lain.

"Kalau pun benci dengan PAS jangan pula fitnah PAS. Kritiklah PAS dan pimpinan kalau kami salah, kerana kami bukan maksum," kata Idris seperti dilaporkan Harakahdaily.

Idris berkata demikian merujuk mengenai dakwaan bahawa PAS ingin bergabung dengan Umno, serta isu parti itu menerima dana sebanyak RM90 juta.

Selain itu, katanya, PAS didakwa tidak bersuara mengkritik isu 'derma' RM2.6 bilion diterima Datuk Seri Najib Razak serta skandal 1MDB dan saman Jabatan Kehakiman AS melibatkan perdana menteri itu.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Bukit Gantang itu turut menasihati orang ramai supaya bertanya terlebih dahulu kepada pimpinan PAS sebelum mempercayai sebarang tulisan di media sosial.

Ia kerana, katanya, berita tidak benar seperti itu mungkin juga ditulis oleh "orang muslim, kafir, munafik, penulis upahan, pendendam, batu api, dan (aktivis perang) saraf musuh".

"Dari mana awak dapat maklumat mengatakan PAS hendak bergabung dengan Umno? Dari mana awak dapat maklumat PAS dapat RM90 juta? Dari mana awak dapat maklumat PAS tidak bersuara mengenai 1MDB, RM2.6 bilion, DOJ?

"Jawapannya, daripada FB, WhatsApp, ceramah orang yang benci kepada PAS, portal, laman web.

"Saya tanya lagi, awak ada bertanya dengan pemimpin PAS? Awak baca Harakahdaily? Awak baca Harakah? Awak hadir usrah? Awak dengar kuliah di markas PAS? Awak dengar ceramah PAS? Jawapannya semuanya tidak," katanya.

Previous
Next Post »

Blog Archive