Harga kereta tempatan dijangka naik 5-10%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Harga pasaran kenderaan tempatan dan import yang dipasang di negara ini dijangka bakal meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus ekoran trend berterusan kejatuhan nilai ringgit.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, kenaikan itu mungkin boleh mencecah sehingga 15 peratus jika nilai ringgit terus merudum.

"Walaupun kereta seperti Proton dan Perodua adalah keluaran Malaysia tetapi mereka banyak bergantung kepada komponen diimport seperti kenderaan import yang dipasang dalam negara tentunya turut terkesan.

"Peratusan sebenar kenaikan ini banyak bergantung kepada peratusan kejatuhan nilai ringgit, misalnya selepas Donald Trum menang, harga ringgit jatuh dalam lima peratus, sekali gus boleh menyebabkan harga kereta naik," katanya kepada SelangorKini.

Katanya, selain Proton dan Perodua, antara pengeluar lain yang dijangka menerima kesan kejatuhan nillai ringgit adalah kenderaan import yang dipasang dalam negara seperti Naza Kia.

Katanya, kenaikan itu berlaku apabila pengeluar kenderaan tempatan dan import yang dipasang di dalam negara tiada pilihan lain kecuali terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan komponen kenderaan masing-masing dari negara pengeluar.

"Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, pengeluar ini tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga pasaran kenderaan keluaran masing-masing," katanya.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, Perodua sedia mengkaji semula nilai pasaran harga keretanya jika ringgit terus lemah berbanding mata wang utama dunia.

-AA-

Previous
Next Post »

Blog Archive