BR1M rasuah, Azmin setuju dengan Dr M

azmin-mahathir-br1m
PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan berkata program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) suatu bentuk sogokan.

Beliau berkata demikian sambil membandingkan pemberian wang tahunan itu kepada program bantuan usahawan kerajaan Selangor, Hijrah.

“RM600 boleh habis dalam masa 2 hari. Itu sogokan politik oleh Putrajaya,” kata menteri besar Selangor itu, ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang tadi.

“Kita pula sediakan bantuan kewangan sekiranya usahawan mahu membesarkan perniagaan. RM5,000 sehingga RM50,000 tanpa faedah.
“Begitu caranya kita bantu dan mendayakan rakyat.”

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa BR1M suatu bentuk rasuah yang diamalkan kerajaan pimpinan BN.

Kelmarin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun menolak dakwaan itu kerana rakyat berhak menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Ketika ditanya pemberita mengenai perbezaannya dengan Wan Azizah, Azmin menjawab kenyataan mereka perlu dibaca dalam konteks masing-masing.
“Tak adil mengatakan presiden PKR salah. Dalam konteks ini, Putrajaya mengamalkan suatu bentuk sogokan,” kata Azmin, yang juga timbalan presiden parti.
Previous
Next Post »

Blog Archive