Berbijaksana dalam mendepani Dr M demi PRU14

Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa oleh beberapa mahasiswa sebagai sedang mempergunakan gerakan mahasiswa dan juga aktivis siswa seperti Anis Syafiqah Md Yusof dalam usaha menjatuhkan musuhnya.

Kehadiran Mahathir semasa konvensyen kebangsaan DAP pula dikatakan akan merobek tahap sokongan di kalangan para pengundi berbangsa Cina di Semenanjung dan masyarakat Kadazan kepada parti itu.

Tidak cukup dengan itu, Mahathir juga dikatakan menjadi punca perbalahan antara beberapa parti dalam pakatan pembangkang selain kemerosotan jumlah penyertaan umum dalam himpunan BERSIH 5, baru-baru ini.

Semua memahami banyak pihak dalam pembangkang juga masih menyimpan api kemarahan dan dendam kesumat terhadap Mahathir yang menjadi antara penyebab utama mereka menyertai gelombang pembangkang untuk menentang kerajaan.

Waimah apa jua yang dikatakan oleh beberapa kerat penyokong tegar pembangkang ini, pemimpin atasan sama ada dari DAP, PKR mahupun Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan keterlibatan Mahathir dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

3 pemimpin 'dilanyak' Mahathir

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu, walaupun pernah 'dilanyak' oleh Mahathir semasa era pemerintahannya, telah menggunakan kebijaksanaan mereka dalam misi menggantikan BN di Putrajaya pada PRU14.


Ini kerana, setelah Anwar mempunyai peluang yang tipis untuk dibebaskan dari penjara sebelum PRU14 yang dijangka diadakan pada tahun hadapan, Mahathirlah satu-satunya individu yang boleh diharapkan untuk mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menjelang PRU14.

Walaupun masih terpalit dengan 'dosa-dosa' lama menindas pembangkang semasa era pemerintahannya, Mahathir juga satu-satunya sumber inspirasi di kalangan pembangkang untuk 'menangguk di air keruh' dalam usaha menarik undi Melayu.

Dengan berdekad lamanya Mahathir dalam Umno, pastinya bukan sedikit ahli-ahli Umno yang terhutang budi atas segala kebaikan yang pernah dilakukan dan mungkin memberi undi protes kepada BN pada PRU14 sementelah keyakinan yang terus merosot terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Dengan gandingan Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjawat jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan selain Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah mengepalai kerajaan negeri Kedah, pastinya undi Melayu masih sedikit-sebanyak terlepas dari tangan Umno.

Jika bukan di seluruh negara, paling tidak pun di Johor dan Kedah yang telah menjadi negeri bagi kedua-dua pemimpin berkenaan menabur bakti, memiliki ribuan penyokong dan berakar umbi.

Mahathir lupakan sengketa

dap national congress 041216 lim kit siang mahathir

Bagi Mahathir pula, beliau turut menyatakan kesediaan untuk melupakan segala sengketa yang wujud dengan Anwar dan Kit Siang sebelum ini untuk berdepan dengan Najib.


“Dalam apa jua usaha atau perang, musuh juga adalah sahabat. Saya kena tentukan keutamaan saya kalau saya terus (bermusuh), masalah tidak akan selesai.


“Saya punya perasaan terhadap Anwar dan Kit Siang hanya sedikit, saya dah lupakan perasaan saya terhadap mereka, jadi saya kini bekerja dengan mereka dalam satu gerakan,” memetik kata-kata 'orang lama' politik Malaysia itu.
Oleh itu, gerakan yang ditunjangi oleh Mahathir ini berpotensi untuk menarik lebih ramai Melayu terutama di kalangan Umno untuk mengundi pembangkang pada PRU14.

Justeru, kepada golongan mahasiswa atau sekerat-dua penyokong tegar pembangkang yang masih mempunyai dendam kesumat terhadap Mahathir, lupakanlah walaupun untuk sementara seperti yang diperlihatkan oleh Anwar, Kit Siang mahupun Mat Sabu.

Walaupun amat sukar bagi Mahathir untuk mengakui kesilapan dalam beberapa perkara yang pernah dilakukannya selama 22 tahun memegang jawatan satu negara, namun seharusnya 'kekuatan' beliau digunakan untuk mengajak rakyat kembali 'UBAH' kerajaan yang ada.

Jika ketiga-tiga pemimpin gred satu ini mampu 'melupakan' kisah lama dengan Mahathir, jadi, apalah sangat untuk dibandingkan 'derita' yang pernah dilalui golongan mahasiswa atau penyokong parti dengan tiga pimpinan utama itu untuk 'memaafkan' Mahathir walaupun seketika.

Bak kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam karya agungnya, 'Sedangkan Nabi ampunkan umat', apalah kiranya jika semua pihak dalam pembangkang termasuk ahli-ahli parti dan aktivis masyarakat dapat berlapang dada menerima dengan ikhlas keterlibatan Mahathir kali ini.
Previous
Next Post »

Blog Archive