AMANAH Kelantan desak Nik Abduh cadangkan kepada Najib haramkan DAP


Amanah Kelantan mendesak Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz mencadangkan kepada Perdana Menteri agar mengharamkan DAP sekiranya benar dakwaan beliau parti itu boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan kaum, atau boleh mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam negara ini, tegas Naib Pengerusi Amanah negeri, Ustaz Che Ibrahim Mohamed.

Katanya, kenyataan Nik Abduh itu sebenarnya cuba meniupkan api perkauman dalam kalangan orang-orang Melayu dan ia senada dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan DAP.


Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed (kanan)

Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang berada di luar komponen Pakatan Harapan (PH) tidak berhak dan tidak layak untuk menjadi jurucakap PH, apatah lagi campurtangan dalam menentukan calon Perdana Menteri yang hanya akan diputuskan diperingkat Majlis Presiden PH, jika ditakdirkan PH berjaya mengambilalih teraju pemerintahan negara daripada BN.

"Sokongan Umno ke atas RUU 355 yang di bawa oleh Presiden Pas tidak boleh dijadikan ukuran sebagai kejayaan bersama umat Islam kerana laluannya masih berliku.

"Tidak ada sesiapa pun boleh memberi jaminan RUU 355 akan diluluskan. Setakat ini RUU 355 telah tiga kali dipinda di peringkat usul, walaupun usul tersebut belum lagi dibahaskan," ujar beliau kepada Amanahdaily.

Jika di peringkat usul pun, Pas sudah berhempas pulas untuk memastikan usul Presidennya terus berada dalam agenda persidangan parlimen walaupun didakwa mendapat sokongan Umno, bagaimana pula nasib usul ini di peringkat undi belah bahagi dan seterusnya Bacaan Kedua yang hanya boleh dilakukan oleh Menteri, soal beliau.

Nik Abduh dalam satu kenyataan baru-baru ini, meminta umat Islam tidak terpedaya dengan kata-kata penyokong PH kononnya calon Perdana Menteri mereka, jika memerintah negara adalah daripada PKR bukan DAP.

Beliau yg juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga meminta umat Islam negara ini bersyukur dengan sokongan Umno ke atas RUU 355 yang merupakan kejayaan bersama dan beliau yakin tiada jaminan untuk memperkasakan Islam di Malaysia jika Pas berkerjasama dengan PH sebagai sebuah kerajaan.

Menurut Che Ibrahim lagi, Pas boleh mendakwa partinya berada di atas landasan yang benar ke arah penyatuan umat Islam, tetapi realitinya masyarakat awam melihat Pas semakin berpecah dan semakin terpinggir dari arus politik perdana.

Syariah Islam dan tali Islam yang telah dibina kukuh oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, tegasnya, semakin terungkai dan hambar.

Rakyat sudah muak dan amat kecewa dengan gaya kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas era Tuan Guru Nik Aziz yang semakin menyimpang dari maqasid syariah dan maslahat umat, tegas beliau lagi.

Previous
Next Post »

Blog Archive