Pulun Menang dulu, pilih PM kemudian

zaid-pakatan
KUALA LUMPUR: Calon perdana menteri bukanlah isu utama yang perlu dirisaukan Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Baginya, ia boleh diputuskan selepas Pakatan Harapan melepasi peringkat paling sukar, iaitu menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Hal itu boleh tunggu dulu. Saya rasa itu bukan hal sukar. Apa yang sukar adalah menang pilihan raya,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan Amanah sebelum ini mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, dilantik menjadi perdana menteri sekiranya menang PRU.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan 12 November lalu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mencadangkan calon perdana menteri sementara dilantik sementara menunggu pembebasan Anwar.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata ia tidak perlu, dan perdana menteri boleh dilantik daripada parti yang memenangi paling banyak kerusi.

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri senada dengan Dr Mahathir.

“Kita boleh pilih apabila tiba masanya. Siapa yang menang kerusi paling banyak, dapat menentukan perdana menteri (di kalangan mereka).

“Pasti akan ada rundingan, misalnya timbalan perdana menteri pula dari parti mana. Tetapi saya rasa rundingan itu nanti tidak akan memakan masa lama,” katanya lagi.

Masih muda, mahu bertanding

Zaid yang pernah menjadi ahli Parlimen Kota Bharu selama sepenggal (2004-2008) turut bersedia bertanding dalam PRU akan datang.

“Memang minat untuk bertanding, lagi pun saya bukanlah tua sangat. Saya tunggu kalau ada mana-mana parti yang sesuai tawarkan.

“Kalau tiada tawaran dan saya rasa berminat, terpaksalah jadi calon bebas. Tapi takkanlah Dr Mahathir, (pemimpin kanan DAP) Lim Kit Siang dan (Ketua Umum PKR) Anwar lupa saya seorang,” katanya.

Selepas meletak jawatan menteri pada 2008, beliau menyertai PKR setahun kemudian, sebelum meninggalkan parti itu selepas tewas pemilihan timbalan presiden.

Pada Disember 2010, beliau mengetuai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) namun meletakkan jawatan 2 tahun kemudian.

Zaid berkata parti yang berminat mendapatkan khidmatnya diharap memberikan tawaran yang munasabah.

“Maksudnya di tempat yang saya yakin boleh berusaha untuk menang. Janganlah bagi kerusi berat-berat.

“Tapi kalau letak saya di (kawasan Parlimen Perdana Menteri) Pekan pun tak apa. Dengan sumber yang Najib ada tentulah saya kalah, tetapi pasti ia akan jadi menarik bukan?” katanya lagi.
Previous
Next Post »

Blog Archive