4 cedera kemalangan 16 kenderaan di Tapah


polis_kemalangan
Empat cedera dalam kemalangan membabitkan 16 kenderaan di Kilometer 321 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan sebelum susur keluar Plaza Tol Tapah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata kemalangan pada pukul 10.20 pagi itu membabitkan 10 kereta, 2 lori kecil, masing-masing sebuah lori tangki, bas ekspres, lori pikap dan van.

Dua daripada mangsa yang cedera merupakan pasangan suami isteri dikenali sebagai Abdul Aziz Youp Mat, 68, dan Rosiah Zainal, 61, yang menaiki Proton Waja, seorang pemandu Proton Iswara, Phoo Chee Leong, 52, serta pemandu lori tangki yang masih belum dikenal pasti identitinya.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan bergerak perlahan dan berhenti kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan di KM321.8,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Som Sak berkata ketika itu sebuah lori tangki menukar lorong dari kiri ke kanan tetapi gagal mengelak daripada melanggar belakang sebuah bas eskpres.

“Dalam masa yang sama, lori tangki itu menggelongsor dan melanggar beberapa kenderaan di lorong kanan seterusnya menyebabkan kesemua kenderaan yang berada di lorong kiri dan kanan berlanggar antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tapah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya kes itu masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Previous
Next Post »

Blog Archive