SPRM perlu tangkap ‘jerung’ yang lebih besar

Shamsul Iskandar Md Akin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak hanya bertumpu kepada kes rasuah melibatkan individu atau pegawai kerajaan sahaja.

Sebaliknya kata Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, SPRM sepatutnya turut menyasarkan untuk menangkap 'jerung' yang lebih besar dalam permainan rasuah ini.

"PKR mengalukan kerja keras yang dilakukan oleh SPRM. Cuma peringatan saya terhadap SPRM, jangan sekadar bertumpu kepada pegawai dan pengarah, kita sudah buat banyak laporan kepada nama yang lebih besar tetapi tidak ada tindakan.

"Sebarang usaha yang dibuat oleh SPRM disambut baik oleh seluruh rakyat negara ini.

"Bagaimanapun masyarakat mahu melihat sama ada SPRM berjaya menangkap jerung yang lebih besar daripada pegawai dan pengarah-pengarah," katanya ketika ditemui Sinar Online selepas sidang media di sini, hari ini.

SPRM menahan dua pegawai kanan yang berjawatan pengarah dan timbalan pengarah di jabatan kerajaan yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak tahun 2010.

Difahamkan, keduanya disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan tersebut kepada sanak saudara mereka.

Kedua-duanya yang berusia 54 dan 51 itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pada jam 9.15 pagi kelmarin.

SPRM dalam masa sama turut merampas wang tunai bernilai lebih kurang RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM jumpa wang tunai RM50j di rumah pegawai GLC]

Menyentuh tentang tangkapan demi tangkapan yang dibuat SPRM, Shamsul berkata, ia adalah bukti negara berdepan dengan krisis rasuah yang semakin parah dari sehari ke sehari.

"Sekiranya kita himpunan (secara kolektif) tangkapan yang dibuat oleh pihak SPRM, pasti jumlah rasuah yang terlibat sudah lebih ratusan juta.

"Kami sudah nyatakan lebih awal sebelum ini, kalau ketirisan dapat ditangani lebih awal, maka rakyat tidak perlu terbeban dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan," katanya lagi.


Previous
Next Post »

Blog Archive