Persempadanan semula: Selangor hantar bantahan rasmi

Persempadanan semula: Selangor hantar bantahan rasmi

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini menghantar bantahan rasmi berhubung syor persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pejabat SPR Selangor, di sini.

Bantahan rasmi yang ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu dihantar kepada SPR bersama dengan 11 bantahan lain yang datang dari cabang kawasan Dun dan Parlimen.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kesemua bantahan yang dikemukakan datang daripada hampir kebanyakan pertubuhan dan parti politik dalam Selangor.

"Saya fikir ini juga merupakan bantahan terbesar yang pernah dikemukakan kepada SPR Selangor yang datangnya daripada banyak parti politik dan orang perseorangan di Selangor.

"Kita difahamkan, pihak SPR akan mengadakan satu sesi pendengaran dan akan memanggil kesemua (wakil) yang membuat bantahan ini untuk membentangkan asas bantahan.

"Kita harap dengan adanya sesi pendengaran ini, proses persempadanan semula oleh pihak SPR akan mengambil kira segala bentuk bantahan yang dikemukakan oleh segenap lapisan masyarakat," katanya pada sidang media selepas penyerahan dokumen bantahan, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.

Menurut Xavier, pihak SPR akan menghantar surat dan memaklumkan agar wakil setiap bantahan untuk hadir ke sesi pembentangan pada 7 hingga 11 November nanti.

"Kita dimaklumkan sesi pembentangan untuk semua wakil bantahan di Selangor akan diadakan selama lima hari.

"Walaupun kita merasakan lima hari tidak mencukupi untuk sesi pembentangan seluruh Selangor, namun kita akan ikuti perkembangan bantahan ini mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan sejumalah 11 bantahan akan dikemukakan kepada SPR berkaitan syor persempadanan semula melalui Dun Sri Andalas, Sri Muda dan Parlimen Kota Raja.

Bantahan berkenaan membabitkan lapan dari Dun Sri Andalas, dua dari Dun Sri Muda dan satu dari Parlimen Kota Raja di mana setiap bantahan merangkumi sekitar 120 tandatangan pengundi setempat yang tidak bersetuju dengan syor persempadanan semula itu.

Previous
Next Post »

Blog Archive