Pembongkaran rasuah Jabatan Air Sabah hanya contoh kecil masalah sebenar rasuah negara

rasuah

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Rampasan bernilai RM112 juta melibatkan dakwaan rasuah dua pegawai Jabatan Air Sabah menggegarkan negara apabila gambar barang-barang sita termasuk wang tunai berkotak-kotak menjadi viral di media sosial.

Akhbar-akhbar arus perdana meletakkan berita tersebut di muka hadapan, dengan tajuk huruf besar ‘Luar Biasa’ beserta gambar wang tunai berkotak-kotak.

Namun bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, meski negara terperanjat dengan rampasan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini, ia masih kecil jika dibanding dengan graviti masalah rasuah yang sedang dihadapi negara.

Menurut beliau, meski kejayaan SPRM itu dilaporkan dengan meluas oleh media massa, kesemuanya turut mengabaikan berita permohonan bantuan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang memohon bantuan pihak berkuasa negara dalam siasatan melibatkan penggelapan dana berjumlah US$800 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Lebih memeranjatkan, permohonan pihak berkuasa Swiss itu masih belum dilayan selama sembilan bulan, sejak Januari lalu,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Bagi Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin, adalah tidak cukup untuk sekadar memberkas perasuah di Jabatan Air Sabah sahaja, malah beliau percaya siasatan dan pemberkasan lanjut perlu dibuat di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, bagi membanteras rasuah sektor awam.

“Mereka (yang diberkas SPRM semalam) hanya pengarah dan timbalan pengarah jabatan yang disangka mempunyai peluang lebih rendah untuk mendapatkan kekayaan melalui salah guna kuasa.

“Jika Jabatan Air boleh ada skandal sebesar ini, bagaimana pula dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain yang sentiasa mengeluarkan tender dan konsesi?” soal Chan yang juga Adun Sri Tanjong.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali pula berkata rampasan SPRM di Sabah menggambarkan bagaimana rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kian meruncing.

“Ini adalah mimpi ngeri buat rakyat yang terpaksa bergelut dengan kesempitan hidup sehari-hari, dengan kuasa beli yang amat terhad lebih-lebih lagi setelah polisi-polisi tempang seperti GST.

“Namun saya ingin secara konsisten mengingatkan, skandal 1MDB yang melibatkan ‘Malaysian Official 1’ sebagai individu terpenting dalam sektor eksekutif di negara ini masih dilihat belum disiasat secara serius,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, rakyat tidak lupa dengan angka RM2.6 bilion yang dipercayai telah didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri namun tiada tindakan setimpal diambil berhubung skandal tersebut.

Semalam SPRM merampas sejumlah RM112 juta wang tunai selain sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah dalam kes rasuah melibatkan projek-projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM3.3 bilion.

Suspek-suspek didakwa memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada saudara mara. – Roketkini.com
Previous
Next Post »

Blog Archive