Zika sukar dibendung jika tidak ubah sikap

Zika

IPOH - Penularan virus Zika di Malaysia sukar dibendung disebabkan sikap rakyat yang kurang kesedaran terhadap pencegahan pembiakan nyamuk Aedes, kata Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Datuk Dr Amar Singh.

Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi memandangkan cuaca panas dan kering di Malaysia akan menyebabkan nyamuk Aedes yang juga pembawa demam denggi mudah membiak berbanding negara lain yang mempunyai musim sejuk.

"Selain itu, kesan jangkitan terlalu biasa seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam sehingga ada yang tidak sedar mereka dijangkiti Zika.

"Begitu juga dengan ibu mengandung, mereka tidak sedar dijangkiti sehinggalah bila bersalin anak yang dilahirkan nanti akan mempunyai masalah kepala atau otak kecil (microcephaly).

"Bukti semasa menunjukkan bahawa di antara 15 hingga 20 ibu hamil yang dijangkiti akan mempunyai bayi dengan kerosakan otak terutama pada awal kehamilan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Amar yang juga Presiden Majlis Intervensi Awal Kanak-Kanak Kebangsaan berkata walaupun demam denggi boleh membawa maut, namun jika mendapat rawatan sewajarnya, pesakit boleh sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa tetapi berbeza dengan Zika.

Katanya, Zika menyebabkan kecacatan yang ketara, terutama kepada kanak-kanak dan jika pembiakan nyamuk Aedes masih gagal ditangani, ramai kanak-kanak di Malaysia berisiko mendapat jangkitan.

Tambahnya jangkitan Zika juga sukar dibendung kerana ia sejenis virus baharu dan setakat ini tiada ubat untuk merawatnya, malah penghasilan vaksin mungkin mengambil masa yang agak lama.

Ditanya sama ada Zika boleh memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan normal, Dr Amar berkata setakat ini belum ada bukti saintifik berhubung perkara itu.

"Namun, satu kajian ke atas tikus dewasa yang dijangkiti Zika di luar negara  mendapati sebahagian otak haiwan itu mengalami kerosakan," katanya.

Menjelas lanjut, Dr Amar yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Perak berkata, penularan Zika dan denggi adalah tanggungjawab semua rakyat dan usaha itu tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan.

"Apabila anak-anak kita menjadi cacat disebabkan Zika, jangan salahkan orang lain, tetapi salah diri sendiri.

"Ahli politik kita juga tidak harus dibenar untuk campur tangan apabila kompaun dikeluarkan terhadap pemaju tapak projek pembinaan swasta atau kerana membiak nyamuk Aedes.

"Pihak Majlis Bandaraya kita mesti bekerja bersungguh-sungguh, bukan sekadar bercakap...Kita mesti bekerja sebagai sebuah komuniti dan ubah sikap jiran tetangga kita yang degil," katanya.

Beliau menarik perhatian apabila berkata tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan usaha mengurang atau mencegah pembiakan nyamuk Aedes adalah sukar dan mustahil untuk berjaya.

"Sebagai contoh di Singapura, indeks pembiakan Aedes di rumah atau premis telah berkurang daripada 50 peratus pada 1970-an kepada hanya 0.02 peratus pada 2013," katanya. - Bernama


Previous
Next Post »

Blog Archive