Tinjauan: Hanya 25% penyokong BN tidak mahu MO1 ditangkap

SHAH ALAM: Sebahagian besar penyokong BN di Selangor mahu Malaysian Official 1 (MO1) dikenakan tindakan undang-undang, menurut tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE).

Hanya sebilangan responden – tidak melebihi 15% – tidak setuju MO1 dihadapkan ke muka pengadilan.

Penemuan itu merentasi 3 kaum utama yang terbabit dalam tinjauan di 56 kawasan pilihan di Selangor melibatkan 1,761 pengundi daripada 26 Ogos hingga 30 Ogos.

Secara keseluruhannya, 40% responden mahu MO1 dikenakan tindakan, 35% tidak pasti manakala 25% lagi memberi jawapan tidak.

“Berdasarkan jumlah kaum, Melayu 53% sokong, 33% tidak pasti dan 14% tidak setuju; manakala Cina 60% sokong, 30% tidak pasti dan 11% tidak setuju; dan India 46% sokong, 39% tidak pasti dan 15% tidak setuju,” kata Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Mohamad Redzuan Othman.

Beliau mengumumkan penemuan itu di sesi pembentangan kaji selidik tinjauan IDE: Isu dan Persepsi Pengundi Selangor di Hotel Carlton di sini hari ini.

Disebut dalam tuntutan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), sesetengah pihak mengaitkan identiti MO1 kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

MO1 disebut sebagai ahli keluarga Riza Aziz, yang dinamakan dalam tuntutan untuk merampas US$1 bilion aset yang didakwa dilesapkan dan disalur ke Amerika Syarikat melalui syarikat kosong.

DoJ mendakwa lebih US$3.5 bilion dilencongkan daripada 1Malaysia Developed Berhad (1MDB), yang diasaskan Najib pada 2009 selepas menjadi perdana menteri. Riza adalah anak tiri Najib.

Tinjauan yang sama mendapati 45% responden berpandangan BN tidak akan dapat pertahankan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang sekiranya Najib terus memimpin gagasan itu.

Hanya 29% berpendapat BN mampu bertahan manakala 26% lagi tidak pasti.

IDE dalam huraiannya berkata pakatan pembangkang persekutuan boleh menjadikan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘modal’ menyerang BN, kerana 66% responden menolak pelaksanaan cukai itu.

Tinjauan mendapati 66% responden berpendapat isu GST dan kenaikan harga barang akan mendorong pengundi menyokong pembangkang, manakala 17% lagi tidak bersetuju dan tidak pasti.
Previous
Next Post »

Blog Archive