Lagi kes difteria dikesan, kini di Selangor

Putrajaya: Kementeri Kesihatan mengesahkan satu kes disahkan difteria membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak terbabit tidak pernah mendapat imunisasi difteria kerana keluarganya mengamalkan kaedah rawatan homeopati.


"Pesakit mula demam, batuk dan muntah sejak 13 Ogos lalu serta dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 18 Ogos kerana sesak nafas dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan dan pengawasan rapi.

"Ujian kultur swab tekak kanak-kanak itu didapati positif bakteria Corynebacterium diphtheria dan pesakit menerima rawatan antitoksin malah, kini masih diberi rawatan antibiotik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini semua 14 orang kontak pesakit terbabit berada dalam keadaan sihat termasuk tiga orang kontak yang tinggal serumah dengannya dan 11 orang kontak lagi di rumah pengasuh.

"Status imunisasi semua 14 kontak ini adalah tidak lengkap dan pemantauan ke atas mereka masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, bilangan kes disahkan difteria di Malaysia meningkat kepada 27 kes termasuk lima kematian iaitu Kedah sembilan kes dengan satu kematian; Negeri Sembilan tujuh kes dan tiada kematian; Sabah lima kes dengan tiga kematian; Melaka tiga kes dengan satu kematian; Pulau Pinang dua kes dan tiada kematian, manakala Selangor satu kes.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menegaskan istilah vaksin homeopati tidak diiktiraf oleh badan homeopati antarabangsa termasuk Majlis Perubatan Homeopati Malaysia.
Previous
Next Post »

Blog Archive