Bola Malaysia - 'Ini bunuh masa depan kelab kerdil kami'

Datuk Wan Solihi Wan Hassan
ITU luahan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Dearah Kuantan (Kuantan FA), Datuk Wan Solihi Wan Hassan selepas Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih tetap dengan keputusan untuk menggantung Ketua Jurulatih, Zulhamizan Zakaria yang digantung sejak Mac lalu.

Dalam keputusan yang diumumkan oleh jawatankuasa tersebut di Kelana Jaya, semalam, nasib bekas pemain Pahang dan kebangsaan itu terus dirundung malang apabila tempoh pergantungan selama tujuh bulan dikekalkan.

Wan Solihi ketika ditemui di sini, hari ini memberitahu, tindakan FAM dilihat tidak adil selepas beberapa siri rayuan telah dikemukakan oleh Zulhamizan namun masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, tindakan itu seumpama membunuh masa depan kelab itu yang kini sudah beraksi dalam saingan Liga Perdana sejak musim lalu dan menagih khidmat bekas pemain tengah itu untuk mengemudikan kelab itu yang kini sedang menempuh laluan getir dalam kancah liga itu.

“Kita memang terkilan dengan tindakan badan induk ini yang langsung tidak memberikan pembelaan sewajarnya kepada Zulhamizan.

“Apa jenis undang-undang dan peraturan yang digunakan oleh FAM sehingga menggantung beliau selama tujuh bulan kerana ini bermakna beliau tidak mendapat menjalankan tugas hingga akhir musim ini dan semestinya telah membunuh kariernya (Zulhamizan),”tegasnya lagi.

Wan Solihi yang juga Pengurus Pasukan itu turut mempersoalkan bentuk penghakiman yang diambil untuk kes membabitkan Zulhamizan kerana jelasnya tiada bukti sahih melainkan kenyataan yang diberikan oleh pegawai perlawanan.

“Kita memang tidak berpuas hati dengan tindakan jawatankuasa terbabit yang langsung tidak memanggil Zulhamizan untuk memberikan keterangan dan hanya mendapat tahu keputusan itu diumumkan begitu saja pada Mac lalu.

“Jangan bunuh masa depan kelab ini yang juga turut membantu merancakkan saingan liga dan kita bukan kelab besar yang memiliki sumber kewangan yang kukuh sebaliknya minat mendalam membuatkan Kuantan FA turut sama beraksi seperti pasukan-pasukan lain,” katanya.

Selain itu, beliau juga turut mempersoalkan kandungan artikel yang menyatakan jawatankuasa itu bertindak mengikut prinsip yang ditetapkan dan hak sesuatu rayuan itu di bawah ke Mahkamah Timbang Tara seperti yang dinyatakan dalam Artikel 77.

“Mana timbang tara yang diguna pakai dalam kes ini, sebaliknya tiada budi bicara yang diberikan dalam kes ini dan mengapa Zulhamizan yang juga bekas pemain kebangsaan dilayan sebegini rupa.

“Dan mana Persatuan Jurulatih-Jurulatih Malaysia.Apa fungsi mereka dan tidak membela nasib ahli yang dalam situasi teraniaya.Jangan sampai perkara ini perlu dirujuk kepada Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah),” soalnya lagi.

Sebelum itu pada 30 Mac lalu, pengendali berusia 47 tahun itu dikenakan hukuman penggantungan selama tujuh bulan daripada terlibat sebarang perlawanan Liga Malaysia dan denda sebanyak RM3,000 berikutan dua kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar ketika aksi menentang UiTM FC pada 26 Februari di Stadium UiTM Shah Alam dan berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac.
Previous
Next Post »

Blog Archive