TMJ: Beritahu aduan anda, saya sampaikan kepada Najib

tmj-najiib
PETALING JAYA: Sebarang mesej yang ingin disampaikan rakyat kepada perdana menteri boleh diserahkan melalui Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang akan menemui Datuk Seri Najib Razak pada 12 Ogos ini.

Sin Chew Daily memetik Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang ditemubual dalam rancangan ‘Obviously Harith Iskander’ di Astro Awani disiarkan malam tadi berkata, beliau menerima jemputan untuk menghadiri jamuan teh bersama pemimpin nombor satu negara itu.

Beliau berkata, semua nasihat dan cadangan yang pernah disuarakan beliau adalah demi kebaikan rakyat, negara dan generasi akan datang, bukan untuk kepentingan dirinya.

Sehubungan itu, jika berlaku perkara tidak wajar, beliau tidak akan teragak-agak untuk menyuarakannya.

Tambahnya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ismail pernah menasihatkan beliau supaya tidak keliru antara politik dan pendidikan, agama serta perniagaan, kerana ia hanya akan menyebabkan rasuah berlaku.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail memberi jaminan segala maklumat yang disimpan dalam pemacu pena dimilikinya berhubung dakwaan penyelewengan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengubah keadaan dalam persatuan itu.

Beliau berkata, maklumat risikan itu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam FAM dan ia ada kaitan dengan perancangan skuad kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sesetengah pemimpin FAM perlu berundur kerana mereka tidak memahami bola sepak, tidak tahu apa yang mereka lakukan serta tiada minat dalam sukan itu.

“Kita tidak boleh cakap dengan yakin yang persatuan bola sepak negara tidak memerlukan bantuan asing. Bola sepak negara memang mempunyai banyak kelemahan dan perlu bergantung kepada pakar asing untuk membantu membangunkannya.

“Saya secara peribadi percaya peningkatan dari segi pendidikan dan tahap penguasaan bahasa di kalangan pemain boleh membantu meningkatkan prestasi profesional mereka,” katanya sambil menambah beliau boleh menjadi penasihat untuk memberi pendapat terhadap beberapa program atas jemputan Kementerian Belia dan Sukan.

Tegasnya, beliau bukan calon sesuai untuk mengambil alih FAM kerana akan bertindak berat sebelah terhadap pasukan lain disebabkan terlalu sayangkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada 18 Julai lalu, Tunku Ismail melalui Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau memiliki satu pemacu pena yang menyimpan laporan aktiviti dalaman FAM yang didakwanya berlarutan selama 30 tahun, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Jelasnya, pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments

Blog Archive