Polis akui wujud kumpulan pembunuh upahan



CHERAS: Polis mengakui wujudnya beberapa kumpulan kecil melibatkan dua hingga tiga orang setiap kumpulan yang mengambil upah sebagai pembunuh upahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis mendapati senjata api yang digunakan dalam beberapa kes tembak baru-baru ini adalah dari jenis yang sama.

"Ya, saya tidak dapat menafikan ada individu-individu tertentu yang mengambil upah menembak orang. Mungkin ada kumpulan kecil dua ataupun tiga orang. Ada kumpulan-kumpulan kecil dan ada kumpulan yang dikaitkan dengan kongsi gelap.

"Saya tidak dapat berikan dengan khusus tetapi dalam beberapa kes, ia melibatkan senjata yang sama, sebab itu kita berani nyatakan di sini ada elemen-elemen pembunuh upahan itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di sini hari ini.

Tambah beliau, ada individu yang ditahan polis susulan kejadian tembak di Taman OUG tempoh hari merupakan pembunuh upahan.

"Antaranya mereka yang kita tangkap dalam kejadian di Taman OUG. Antara yang ditangkap adalah mereka yang mengambil upah untuk melakukan kerja-kerja yang sebegini... memang ada," ujar beliau yang mengakui pembunuh upahan terdiri daripada warga tempatan.

Justeru, tegas Tan Sri Noor Rashid, pihak polis kini menghalusi maklumat-maklumat yang ada untuk mengenalpasti individu mahupun kumpulan yang terlibat sekaligus mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Previous
Next Post »

Blog Archive