Kerajaan campur tangan urusan Majlis Peguam tak benar


Datuk Seri Azalina Othman SaidSHAH ALAM – Dakwaan beberapa pihak tentang cadangan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA) dibuat untuk kerajaan campur tangan dalam urusan Majlis Peguam adalah tidak tepat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan tersebut adalah tidak matang dan tidak menghormati sistem negara.

“Pindaan LPA sedang dalam peringkat penggubalan, adalah tidak adil pihak luar untuk campur tangan dan mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Prinsip untuk tidak campur tangan dalam urusan negara lain perlu dipegang oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, cadangan pindaan terhadap LPA dibuat setelah mengadakan perbincangan dan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam sendiri.

“Harus difahami, proses sesuatu pindaan itu perlu melalui banyak peringkat sebelum dibawa ke Kabinet dan diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, apa yang dibangkit oleh Majlis Peguam sebelum ini juga adalah tidak berasas kerana kerajaan tidak berhasrat untuk mengawal badan itu sebaliknya pindaan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 42 (1) (I) Akta 166 iaitu memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azalina turut menegaskan cadangan pindaan itu tidak akan mengganggu integriti dan kebebasan peguam.

“Majlis Peguam perlu berpegang kepada tujuan penubuhannya untuk melindungi kepentingan profesion undang-undang yang melibatkan lebih 17,000 ahlinya.

“Saya berharap Majlis Peguam terus memainkan peranannya secara professional dan bertanggungjawab terhadap ahli-ahlinya,” tegasnya.
Oldest

Blog Archive